Friday, March 15, 2019

MAKAN NASIK TEMUAN.

MAKAN NASIK TEMUAN.

Makan Nasi Temuan merupakan salah satu adat Warisan Budaya Bangsa Melayu Negeri Sarawak, yang masih diamalkan hingga kini, selepas saja persandingan kedua mempelai. Kononya ini merupakan makan bersama kedua mempelai buat pertama kali setelah bergelar Suami dan Isteri.

Biasanya, yang mengendalikan sessi makan nasi temuan ini, ialah mak cik-mak cik. Tetapi kekadang ada tuan rumah yang inginkan kelainan dan kejutan, maka itu bang cik ini dijemput untuk mengendalikannya.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, satu kelainan dan kejutan menjadi. Majlis yang sememangnya diharapkan ceria, terus menerus dengan suasana tawa riang jemputan yang datang.




Monday, March 16, 2015

DIMANA KITA dalam permainan?

ZAMAN KECIK-KECIK. Zaman kecik-kecik , kita Cuma suka bermain. Bangun dari tidur dah bermain. Sebelum mengenali dunia luar, kita main-main kat rumah. Mak bapak beli barang mainan. Pergi ke Bandar, jumpa mainan minta beli. Tak dibeli ada yang hempas diri menangis tanda paksaan.

Kenal dengan dunia luar, punya ramai kawan. Kawan kampung, kawan sekolah ke sana kemari cari permainan. Permainan pula berbagai, ada mainan yang mengisi minda untuk melatih diri jadi anak yang baik, dan ada juga mainan yang tidak sepatutnya dimain, sekiranya kurang awasi dari kedua ibu bapa dan guru-guru, bolih membawa kea rah yang tidak baik untuk masa depan anak-anak.

ZAMAN REMAJA. Dunia semakin luas. Pergaulan juga semakin luas. Kawan teman semakin bertambah. Di sini akan kita lihat, kita seakan-akan mencari hala tuju kita. Dan disinilah permainan awal itu mempengaruhi kita. Sekiranya mainan awal kita lebih cenderung kepada mainan-mainan yang negatif, maka tidak hairanlah kekawan kita seterusnya akan lebih mencari teman-teman yang suka dan cenderung dengan hal-hal yang negatif, demikian juga sebaliknya.

DEWASA. Sehinggalah kita mencapai usia dewasa, berkahwin, beranak pinak, pengaruh dari yang lepas tetap masih berlegar disekeliling kita, kecuali ada TITIK TANDA PERUBAHAN, yang mungkin ada kebarangkaliannya terjadi sesuatu hal, musibah dan sebagainya, yang bolih membuat kita rasa tersentap, lalu berfikir jauh, yang ada kemungkinannya mampu merobah segalanya.

ZAMAN BERUSIA. Sekiranya TITIK TANDA PERUBAHAN itu sempat dan dapat kita temui, sebelum ajal kita dipanggil pulang, Alhamdulillah. Sekurangnya, dapat lah juga kita sedikit sebanyak memohon keampunan dariNya, memperbetulkan dan cuba membersihkan sedikit demi sedikit titk-titik hitam dalam diri kita untuk kea rah yang lebih sempurna. Tetapi sekiranya terjumpa pun titik tanda perubahan itu, TETAPI  tidak diambil sebagai iktibar dan pengajaran, maka akan hanyutlah kita membawa seribu satu macam persoalan yang akan kita bawa menghadap kemuka pengadilan sang MAHA PENCIPTA, bagi menjawab segalanya.


Tepuk dada Tanya akal, DIMANA KITA?

Friday, March 13, 2015

MENDEKATI RASA Suka, Sayang dan Cinta.

Kerana kehidupan ini dipenuhi dengan rasa suka, cinta dan kasih sayang, berbagai ungkapan yang dapat kita simpulkan melalui perkataannya. Indahnya menikmati alam ini. Penuh dengan dunia fantasi tapi berinti.

Para cendikiawan tak perlu dicerita lagi, memang asyik kita membaca tulisan mereka bila intipatinya dipenuhi dengan aroma-aroma rasa suka, sayang dan cinta. Apa lagi bagi kita yang sememangnya meminati dunia mereka. Kita juga bagaikan diajak sama menikmati keindahan dan kesyahduan dunianya.

Yang masih ku ingat dan jadi garis panduan ku,  untuk menilai sesuatu, beberapa ungkapan jadi sandaranku.

MATAHARI bisa mengeringkan air dilautan yang luas, tetapi CINTA belum tentu bisa mengeringkan walau setitik airmata yang kecewa. Memberi pengertian, supaya kita lebih berhati-hati dengan ungkapan kata CINTA, bukan semudahnya untuk dilafazkan. Kerana bila terjadinya sesuatu perpisahan, merana badan, mengalir airmata kekecewaan, walaupun akan balik kepangkal jalan dengan melapazkan ungkapan kata CINTA bagi kali yang kedua, ketiga dan seterusnya, pasti tidak akan mampu untuk mengembalikan airmata kekecewaan yang pertama tadi, kini pasti sudah kering kontang airmata tersebut.

Empat perkara yang menimbulkan rasa CINTA: muka yang jernih, ringan tangan, mencari persesuaian sama sendiri, sama yang di mulut dengan di hati. Meminjam kata hikmat dari HAMKA. Cuba kita sama hayati intipati ayatnya, mudah tetapi mempunyai pengertian yang amat dalam. Rasa CINTA itu hanya akan timbul, apabila kita sentiasa tenang, menerima qada qadarnya, syukur sabar didalam apa juga situasi. Ringan tangan yang sentiasa hidup bantu membantu, tolong menolong. Tidak berat tangan untuk bersedekah. Hidup dalam kelompok yang sama-sama memahami erti kehidupan ini, ikhlas, jujur dan amanah, bercakap dan dihati itu sama, kerana mengatahui, yang maha Esa tetap melihat dimana saja kita berada.

Cintailah yang memberi nikmat dan jangan engkau cintai nikmat yang diberikan. Dari kata Ahli Sufi. Mencintai Allah SWT yang sentiasa memberi nikmat pada kita, walau siapa pun kita. Dan jangan pula kita lalai dengan kenikmatan pemberianNya sehingga kita melupaiNya.


Indahnya berbicara tentang Suka, Sayang dan Cinta ini. Maka itu, harus kita sedar ruang, sedar diri, sedar waktu, jangan sampai kita melanggari etika RASA Suka, sayang dan Cinta itu sendiri.

Thursday, March 12, 2015

SUKA SAYANG CINTA KU

Aku mula mengenali rasa SUKA itu, sewaktu usia kecilku. Semua orang ku kira. Suka dengan barang mainan, suka bermain. Suka dipuji, suka dimanja, jadi seronok, kekadang over acting, jadi nakal.

Sayang,  diawal usia juga kita sudah merasainya. Sayang kepada barang maianan kita, sayang kepada emak, sayang kepada bapak. Cuma aku tak merasa kasih sayang dengan adik beradik aku semasa kecil ku, sebab aku jadi anak tunggal dalam keluarga angkat aku, setelah aku diangkat menjadi anak angkat kepada ibu saudara ku sendiri.

Perasaan CINTA pulak, aku sudah melalui dan merasainya diusia yang amat muda ku rasa. Sewaktu aku di bangku sekolah rendah lagi, dalam darjah empat tahun 1967. Tak percayakan? Itulah kenyataannya. Cuma apabila aku sudah meningkat remaja, dewasa barulah aku tau, itulah CINTA MONYET agaknya.


Apabila aku meningkat remaja, aku terjumpa dengan sebuah buku “TENGGELAMNYA KAPAL VEN DER WICJK” hasil karya HAMKA. Kisah percintaan yang amat menyeronokkan. Aku baca buku tersebut berulang-ulang, rasanya mungkin melebihi 30 atau 40 kali aku membacanya, tak jemu jemu. Paling aku minat dalam tu, ialah surat-surat percintaan diantara Hayati dan zainuddin, yang sering ku baca berulang-ulang, sehingga aku sendiri dipengaruhinya, dengan menulis surat cinta zaman remaja ku dengan cara begitu.

Antara intipati surat mereka yang LEBIH KURANG seperti ini, “Aku tidak pandai berkata-kata, dan lidahku menjadi kelu bila berhadapan dengan mu, kerana matamu yang bak seperti bintang timur itu, sentiasa menghilangkan susunan kata bicaraku….” Wah…aku menarik nafas panjang pada waktu itu, terpesona, lalu menyalin semula ayatnya, lalu ku hantar surat tersebut kepada kekasihku, isteri ku sekarang ini. Maka itu tak hairanlah surat menyurat antara aku dan isteri ku sewaktu maseh digerbang percintaan alam remaja, tidak kurang dari 150 pucuk surat, bercinta dalam waktu 7 tahun. Itu yang sempat dikumpul, yang tercicir dalam simpanan juga banyak.



Setelah TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WICJK, aku menemui sebuah lagi buku yang lebih kurang intipatinya, HARTINI karya Aziz Afkar . Tapi aku membacanya cuma sekali. Dari sinilah aku suka bermain dengan kata-kata yang berbau suka, berbau sayang, berbau cinta. Tenang dan seronok rasanya. 

Wednesday, March 11, 2015

SUKA, SAYANG, CINTA


SUKA bersinonim dengan gembira, girang, suka ria, senang hati, sukacita, gemar, mahu, ingin, berminat, sudi, berkenan.


SAYANG bersinonim dengan kasih, asyik, gemar, minat, simpati, belas, berahi, rindu.


CINTA pula tidak ada maklumat tesaurus (kata seerti)  untuk kata CINTA.

CINTA SEBELAH cinta yang tidak berbalas.

CINTA MONYET cinta kasih yang keanak-anakan, cinta yang hanya sementara, cinta sekejap, cinta Cuma waktu suka, terutamanya dikalangan REMAJA.

CINTA PANDANG PERTAMA cinta timbul waktu pertemuan pertama kali bertemu dengan orang berkenaan.

CINTA ASMARA cinta berahi, cinta keasmaran, mabuk cinta, angkatan muda yang masih hijau dan gila.



Sekurangnya dengan penjelasan serba rinkas ini, dapat juga kita sedikit sebanyak menilai, menimbang tara diantara SUKA, SAYANG dan CINTA. Lantaran itu, dengan munculnya tulisan yang pertama ini, moga dapat ku teruskan catatan-catatan yang seterusnya dengan bahan-bahan yang pastinya berbau SUKA, SAYANG dan CINTA.

Tuesday, March 10, 2015

MENGHINDARI DIRI DARI RASA TERTEKAN.


Aku bukan seorang doctor, apa lagi ahli pakar kesihatan, dukun pun aku bukan. Aku sekedar berbicara melalui pengalaman aku sendiri didalam mengharungi beberapa penyakit yang pernah aku alami sejak dulu lagi hingga sekarang. Dan Alhamdulillah, aku masih mampu bertahan, hingga kini aku terus mengamalkannya.
Sewaktu kecil, jatuh tangga, luka terkena pisau, tercucuk paku dan sebagainya perkara biasa. Kata orang tua-tua, anak-anak kecil sebenarnya anak malaikat, maka itu selalu kita lihat, kalau terjadi apa-apa kemalangan kecil kepada anak-anak, pasti ada sesuatu bagaikan menghalang dirinya dari terkena musibah yang mungkin mengakibatkan lebih berbahaya kepada dirinya. Tapi ada juga aku mengidap sakit lelah, tapi dapat di sembuhkan dengan cara tradisional, urut minyak susut atau minyak lelah.

Dalam usia yang sebegini, aku pernah terkena sejenis penyakit, yang mula nya aku tak tau apakah jenis penyakit itu. Ia bermula dengan satu rasa gerakan arus eletrik kecil yang sesekali terasa di bahagian bawah kedua bahu, bahagian belakang. Lepas beberapa minit, pernafasan ku pula terganggu. Waktu mula-mula menyerang aku, aku panic, lalu ke klinik. Ke klinik Kita Pandan Indah. Masa ini aku masih lagi di semenanjung. Bekerja dalam industry filem, buat-buat drama dan sebagainya.

Sampai di klinik, doctor bagi aku nap pernafasan untuk pesakit asthma. Aku pun sedut. Tetapi semakin aku sedut, semakin terganggu pernafasan aku, sehingga aku minta terus dibawa ke hospital. Sesampai di Hospital, lain pulak prediction doctor. Aku diberi obat sakit gastrik. Aku jadi bingung dan terganggu. Aku pulang, control aku sendiri, minum juga air obat gastrik yang doctor bagi.

Tak puas dengan itu, aku pergi ke klinik pakar, sebab pada hari tu, aku diserang semula dengan apa yang aku rasa pada hari pertama. Aku semakin panic. Pernafasan ku semakin terganggu. Walaubagaimana pun, aku masih mampu untuk menerangkan apa yang terjadi dengan diri ku. Cuma sampai sekarang aku tak ingat, apa nama klinik tu, yang juga berada disekitar Pandan Indah.

Aku minta doctor tu buat apa saja perubatan yang terbaik, aku tak kira berapa bayarannya. Padahal kalau diminta beribu-ribu rasanya terpaksa undur jugak aku.

Dengan tenang doctor itu menyejukkan aku. En. Ali, Encik orang Sarawak, anak-anak serta isteri encik semua kat Kuching Sarawak. Kalau encik panic macam ni, penyakit encik akan bertambah serius, saiap nak jaga encik? Cuba encik bertenang, banyak-banyak beristifar, baca alfatihah banyak-banyak, dan berdoa dalam hati minta dihindarkan segala kesakitan yang encik alamai. Baru dia suruh aku baring dan letak bagai wire merah, biru, hitam bagai segala, didada, jari dan sebagainya. Entah apa dia buat pun aku tak tahu.
Selepas itu aku diminta buang air kecil air besar untuk dijadikan bahan  kajian beliau. Selepas seminggu baru aku diminta datang semula ke klinik tersebut. Ada beberapa biji pil penenang juga diberi, untuk aku makan sekiranya terasa keadaan tersebut.

Selepas seminggu, aku datang semula ke klinik tersebut. Doktor senyum melihat aku. Katanya tak ada apa-apa. Awak Cuma STRESS. Kerja berlebih-lebih, mungkin kurang tidur, banyak berfikir. Nak hindarkan penyakit encik ni, senang je, kalau encik ikut dan amalkan nasihat dan saranan saya ini, in sya allah, pasti akan berkurangan dan hilang perlahan-lahan penyakit encik ni. Bukan setakat penyakit ni. Apa-apa juga yang dinamakan PENYAKIT. Sebab kekadang, PENYAKIT itu datang dari kita sendiri, kerana kita yang memusatkan pemikiran kita kepada arah SAKIT.

Ini yang kita nak tau….suspenkan?

Senang saja katanya, Ingat, setiap kali kita diserang olih apa-apa juga yang dinamakan PENYAKIT, kalau bolih, sebolih-bolihnya…tenangkan diri. Rilek….tarik nafas, hulurkan perlahan. Diwaktu yang sama, berwirit, berdikir, beristifar dan berdoa memohon kepadaNya untuk meredakan apa yang kita alami.
Hal-hal negative jangan sekali cuba difikirkan. Ingat Allah SWT. Ajal maut itu semua ketentuanNya. Walaupun dalam keadaan yang sedemikian, kalau memang belum ketentuannya kita dipanggil pada waktu itu, in sya allah, kita pasti akan reda nantinya. Mungkin juga itu ujian dariNya. Anggap begitu katanya. Kena banyak berfikiran POSITIF. Kalau nak mati, yang sehat walafiat pun bolih tumbang bila sudah dipanggilnya pulang.

Dan jangan ada rasa takut, untuk berfikir, sekiranya itu lah kesakitan yang bolih mengundang panggilan dariNya, seharusnya kita tenangkan diri kita, dan bersiap sedia menerimanya dengan qada qadar dariNya.
Jadi sejak dari hari itu, hingga ke hari ini, mungkin dah hampir belasan tahun juga rasanya, aku terus mengamalkan ajaran dan nasihat doctor tersebut, hidup dengan berbekalkan rasa dan sikap POSITIF dalam diriku, penyakit tersebut terus hilang dari ku. Kalau ada pun rasanya, mungkin kerana pendekatan hidup ku tidak seperti dulu, ianya bagaikan tidak memberi tekanan kepada aku.

Alhamdulillah, ada juga beberapa waktu dan ketika aku keletihan bekerja, kurang tidur, bila check doctor, darah naik mendadak, tetapi dengan pendekatan tersebut, aku tenang menghadapinya, dan keadaan reda dan stabil dalam jangka waktu yang cepat.


Kuatkan semangat, kuatkan jati diri, yakinkan diri, bertawakal, berusaha dan berdoa kepadaNya, in sya allah, akan ada bantuan dariNya.

Monday, March 9, 2015

KENAPA AKU TULIS BLOG?

Tujuan utama ku, adalah untuk menghindarkan diri aku dari memikirkan hal-hal yang bolih mengundang penyakit dalam diri ku. Keduanya, kerana dalam blog tidak ada satu tulisan pun bolih dikatakan SALAH, kerana semua bebas menulis, tidak ada orang yang melarang. Paling-paling pun rakan teman mengkritik. Dan kritikan itu sudah pastinya merupakan ilmu paling berguna untuk kita memperbetulkan diri kita. Biar pun kasar kritikannya, tidak perlu juga kita harus berkecil hati atau marah-marah, kerana kita manusia tetap punya 1001 macam tabiat dan cara pendekatan dalam kehidupan masing-masing.

Tidak ada batasan usia, dari yang muda hinggalah ke usia yang menunggu giliran untuk balik ke tempat PENCIPTANYA. Semua bolih menulis, MAHU atau TAK MAHU je. Tak tahu, kena belajar, kena bertanya. Payah sangat ke nak belajar, nak bertanya? Jadi sakit ke nak bertanya, nak belajar? Jadi hinakah kita bila mengaku kita tak tahu dan ingin hendak belajar? Lu fikirlah sendiri.

Dalam usia yang semakin menjangkau punah ini, tidak dapat hendak dielakkan, berbagai PENYAKIT usia BERUSIA (kalau tak mahu disebut TUA) datang. Sekurang-kurangnya, keletihan, pernafasan, lelah, sakit-sakit tulang, itu pasti sering menjenguk kita. Macam tulah aku, dalam usia yang sudah mencapai 57 tahun ini, yang dah BERUSIA (TUA tu belum), sering dikunjungi rakan teman yang disebut tadi. Sdra keletihan, dik lelahnya, abg kesemputannya, pak anjang sakit tulangnya, semua menjenguk aku.

Jadi setiap kali aku fikirkan rakan teman yang tadi datang, semakin selalu mereka berkunjung. Aku pulak jadi rimas semacam. Aku cuba ikhtiar apa yang terbaik, tanpa pengobatan untuk menghindari mereka. Aku cuba fokuskan pusat pemikiranku ke tempat lain, buka internet, chating, upload foto, baca forum dan sebagainya. Sebab tu, seUsia ini, masih jugak belum mahu nak sebut TUA, aku punya banyak laman social sepeti facebook, myspace, Friendster, tagged dan banyak lagi. Dan kali ini, terjumpa pulak aku dengan laman yang sungguh menyeronokkan, yang bolih menghiburkan, yang banyak memberi manafaat ku kira. Mendekatkan diriku dengan BLOGS.

Tidak ada alasan untuk menyatakan aku yang sudah berUsia ini (TUA jangan sebut) tidak bolih mendekatkan diri aku dengan aktiviti blog ini. Setelah ku dekati, cuba-cuba ku pelajari, hingga kini, termasuk yang ini, sekurangnya aku dan punya 6 blogs hasil tulisan ku. Tentang perkembangan filem di Sarawak, blogs yang sepenuhnya guna cakap Sarawak, Fotografi dan Lukisan ku. Aku banyak menghabiskan waktu ku di sini.


Tanpa ku sedari, kalau sebelum ini, aku agak terganggu dengan kunjungan rakan teman penyakit ku tadi, kini aku kurang berfikir kearah itu, sehingga aku rasa selesa dan aman. Alhamdulillah Allah SWT jua yang memberi petunjuk semua ini.