Saturday, January 24, 2015

MELIHAT CERMIN SILAM, MENCARI TITIK TANDA.


Bersama Ibu Angkat ku


ZAMAN KECILKU
Biarlah aku bermula dengan mengingati zaman-zaman silam ku, zaman kanak-kanak ku. Zaman aku suka bermain di lumpur, mandi manda di sungai, belari ke hulu ke hilir, terpekik terlolong, tanpa ada rasa kepayahan, kesusahan, keresahan dan kesempitan hidup. Yang aku tau, bangun dari tidur, aku menunggu rakan sebaya ku memanggil aku, untuk meneruskan agenda kami seperti semalam, seperti hari-hari sebelumnya, bermain dan terus bermain.
Aku terus cuba mengingati setiap  apa juga yang mampu aku ingatkan kembali, sekurangnya, biarlah urutan cerita-cerita ini nanti, akan ku jadikan bahan titik mula bagi mencari titik tanda setiap perubahan dalam diri, sehingga ke saat ini.

KESIHATAN
Aku dikatakan selalu sakit-sakit sejak dari kecil lagi, maka itu, pendapat dan kepercayaan orang tua-tua kita dulu, aku anak yang tak serasi dengan kedua orang tua ku, sehingga aku diberi kepada ibu saudara ku sendiri, untuk memelihara aku. Dan secara kebetulan pula, bila di dalam pemeliharaan  keluarga angkat ku, aku kurang sakit.

KENAKALAN
Alhamdulillah, kenakalanku sebagai anak kecil tidaklah sampai membimbangkan kedua orang tua ku, walaupun aku satu-satunya anak mereka. Itu pun anak angkat. Diangkat olih emak saudara ku sendiri, kakak kepada emak kandungku.Seperti kanak-kanak lainnya, aku ikut sama bermain, apa saja mainan zaman itu. Main guli, main getah gelang, main roundas, main masak-masak dan sebagainya. Itu saja hiburan dan mainan pada waktu itu. Tak ada play station, tak ada games computer, apa lagi tab dan fon seperti sekarang ini.

PERSEKOLAHAN KU
Amat dibanggakan, masok darjah satu tahun 1964 di Gita KRDC School. Tiga bulan selepas itu, keluarga angkat ku berpindah ke Kampung Bako, dan bersekolahlah aku di Bako DC School. Prestasi di sekolah tip top. Dari darjah satu hingga darjah enam, Cuma sekali aku mendapat tempat ke dua dalam pepereksaan penggal. Itu pun penggal kedua sewaktu darjah dua. Selebihnya aku sang juara, sentiasa mendapat tempat Pertama.

KEHIDUPAN KELUARGA DAN DIRI KU.
Keluarga angkat ku merupakan antara orang yang berada di kampong Bako pada waktu itu. Peraih ikan yang disegani. Punya kelengkapan menangkap ikan yang besar, dengan pekerja anak-anak nelayan yang agak ramai, bekerja dengan kami. Bapak angkat ku juga merupakan pembuat belacan yang terkenal dan dihormati. Dan aku, sebagai anak tunggal, menjadi Anak Emas, bagaikan menatang minyak yang penuh, dalam kehidupan mereka.

Cuma yang aku terkilan, rasa sedih dan antara hal-hal yang harus aku ingat, bagi merobahkan corak kehidupan aku sendiri, keluarga dan anak-anakku  masa ini, dan masa akan datang, ialah satu rahsia dimana itulah hal yang ku katakan, hal-hal tauladan ngeri yang terpahat dalam lipatan sejarah zaman kecil ku, yang menjadi TITIK TANDA seperti yang ku maksudkan diatas. Dan banyak lagi hal-hal seterusnya yang dijadikan sebagai  TITIK TANDA , untuk membuat setiap perubahan diri.

Kata orang tua, “YANG BAIK JADIKAN TAULADAN dan YANG TAK BAIK JADIKAN SEMPADAN”. 




Tuesday, January 20, 2015

LANGKAH KU BERGERAK LAGI


20 JANUARI 2015, LANGKAH KU BERGERAK LAGI. Moga gerak ku kali ini akan terus menerus, mencari apa yang terbaik yang dapat ku gali dan cari dari pengalaman, untuk ku kongsikan bersama rakan teman di sini.

Aku  ALI MOHAMAD. Usia 57 tahun 2015. Walaupun sudah berusia, tetapi bukan satu alasan untuk tidak bersama rakan teman di sini. Kerana selagi diri ini bernama manusia, selagi itu rasanya aku memerlukan rakan teman, sebagai panduan dalam perkongsian, bagi mencerminkan diri sendiri. Harapan aku agar ada rakan teman yang sudi berkongsi sesuatu untuk kebaikan bersama, dan bolih dimanafaatkan kepada rakan teman lainnya.

Sebelum ini, blog ku ini agak jarang diberi perhatian, kerana kesibukan masa dan waktu amat menceburui, sampai tidak mengizinkan ruang untuk aku berada di sini.

Untuk salam perkenalan pada teman-teman, aku pernah menjadi guru sementara pada tahun 1976 hingga 1980. 
Dari tahun 1980 aku bertugas sebagai Pembantu Kajian, di Pusat Penyelidikan Kayu Kayan Sarawak, sehingga tahun 1987. 
Dari tahun 1987 hingga sekarang, aku bekerja sendiri, sebagai ARTIS BEBAS.
Menjadi pelakun teater, drama radio (s’wak fm), drama tv dan filem, dan bekerja di belakang tabir sebagai Kordinator, Pengarah Seni, Pengurus Produksi dan sebagainya, dalam Industri Filem Malaysia.
Menjadi Pengacara (deejay) dalam majlis-majlis kenamaan, kebudayaan dan kesenian Negeri Sarawak.
Menjadi Jurulatih Seni Budaya Negara Negeri Sarawak (Teater).
Menjadi Fasilitator Program Jati Diri bersama Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Negeri Sarawak.
Menjadi Fasilitator Program Sastera dan Budaya di Kem-kem PLKN negeri Sarawak.
Menyanyi, Melukis dan Fotografi.

Biarlah catitan ini menjadi langkah terus menerus di sini, bagi mencari perkongsian bersama rakan teman yang sealiran, bagi menambah kekurangan diri, sementara menunggu dipanggil pulang.


Untuk mengenali ku lebih dekat, buka google, taip: alitvfilm-ali mohamad.